Didikan agama yang bersungguh oleh para sahabat r.a terhadap
anak-anak mereka bermula dari mereka kecil lagi. Berbeza dengan keadaan kita
sekarang yang tidak mengendahkan sangat kelakuan dan agama kanak-kanak dengan
alasan "mereka masih kecil".
Sebagai ibubapa, cuba kita tanya diri kita, adakah kita
sudah memperlengkapkan anak-anak kita dengan ilmu Aqidah, Syariah dan Akhlaq
yang betul? Atau kita hanya melepaskan tanggungjawab tersebut kepada guru-guru
di sekolah atau pihak-pihak lain? Maka,
adakah kita pasti anak-anak kita sudah belajar agama dengan betul, atau mereka
hanya belajar pada nama tetapi tidak meresap ke dalam hati?
"Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli
keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu
......." [Surah al-Tahrim : ayat 6]
Mujahid mengatakan, "Bertaqwalah kepada Allah dan
berpesanlah kepada keluarga kalian untuk bertaqwa kepada Allah."
Sedangkan Qatadah mengatakan, "Yakni hendaklah engkau menyuruh
mereka berbuat taat kepada Allah dan mencegah mereka durhaka kepadaNya. Dan
hendaklah engkau menjalankan perintah Allah kepada mereka dan perintahkan
mereka untuk menjalankannya, serta membantu mereka dalam menjalankannya. Jika
engkau melihat mereka berbuat maksiat kepada Allah, peringatkan dan cegahlah
mereka."
Demikian pula apa yang dikatakan oleh adh-Dhahak dan Muqatil
ibnu Hayyan, dimana mereka mengatakan, "Setiap Muslim wajib mengajari
keluarganya, termasuk kerabat dan hamba sahayanya, berbagai hal berkenaan
dengan hal-hal yang diwajibkan oleh Allah Ta'ala kepada mereka dan apa yang
dilarangNya." [1]
Kisah keghairahan Umair r.a untuk menyertai Jihad
Umair r.a ialah seorang hamba kepada Abu Lahm r.a dan beliau
masih kecil pada ketika itu. Keghairahan menyertai jihad menjadi sifat kehidupan
orang pada zaman itu, tidak kira sama ada masih kecil ataupun dewasa. Umair r.a
berkeinginan untuk menyertai Perang Khaibar. Tuannya telah pergi menemui
Rasulullah S.a.w dan memberitahu sokongannya supaya Umair r.a diberi keizinan.
Rasulullah S.a.w telah mengizinkannya dan telah memberikan
kepadanya sebilah pedang yang telah digantung pada lehernya. Namun demikian,
pedang itu terlalu besar berbanding badannya yang kecil, maka pedang itu
terheret ke bumi. Dalam keadaan itulah beliau menyertai Perang Khaibar. Oleh
sebab beliau masih kecil dan merupakan seorang hamba maka beliau tidak mendapat
bahagian yang sepenuhnya daripada harta ghanimah tetapi beliau hanya diberikan
sedikit barang sebagai hadiah. [2]
Kisah dua remaja Ansar membunuh Abu Jahal
Abdur Rahman ibnu 'Auf ialah salah seorang sahabat yang
besar lagi masyhur. Beliau berkata, "Sewaktu Perang Badar, saya berdiri
dalam barisan pejuang-pejuang. Saya melihat di kiri kanan saya ada dua orang
budak Ansar. Saya terfikir alangkah baiknya kalau saya berada di antara
orang-orang yang kuat. Apabila ada keperluan, boleh tolong menolong antara satu
sama lain. Di kedua-dua tepi saya hanya ada budak sahaja. Apakah yang mereka
boleh tolong?
Tiba-tiba salah seorang dari mereka memegang tangan saya
lantas bertanya, "Pak cik, adakah pak cik kenal Abu Jahal?"
Saya berkata, "Ya, saya kenal. Apakah yang kamu kehendaki?"
Budak itu menjawab, "Saya mendengar bahawa dia telah mencaci
Rasulullah S.a.w. Demi zat yang nyawaku dalam genggamanNya, jika saya melihatnya
maka saya tidak akan meninggalkannya selagi dia tidak mati ataupun saya yang
mati."
Saya begitu kagum dengan jawapannya itu. Kemudian budak yang
kedua juga bertanya soalan yang sama dan dia juga berkata sebagaimana yang
dikatakan oleh budak yang pertama tadi. Kebetulannya saya terpandang Abu Jahal
yang sedang berlari-lari di medan perang. Saya pun berkata kepada mereka,
"Itulah dia orang yang kamu tanyakan aku tentangnya."
Mendengarkan itu, mereka berdua terus berlari dengan pedang
terhunus di tangan. Mereka berdua pergi ke sana dan mula menyerang dengan
pedang sehinggalah Abu Jahal dapat dijatuhkan. [3]
Kedua-dua budak tersebut ialah Mu'az ibnu Amr ibnu Jamuh r.a
dan Mu'awwidz ibnu 'Afra' r.a. Mu'az ibnu Amr r.a berkata, "Saya
mendengar orang ramai berkata bahawa tiada siapa pun yang boleh membunuh Abu
Jahal. Dia dikawal begitu rapi. Daripada saat itulah saya terfikir bahawa saya
mesti membunuhnya.
Kedua-dua budak itu berjalan kaki sementara Abu Jahal pula
menunggang kuda. Ketika Abdur Rahman ibnu 'Auf r.a melihatnya dan ketika
kedua-dua budak itu berlari ke arahnya, Abu Jahal sedang membetulkan
barisan-barisan tentera. Oleh sebab dia menunggang kuda maka susah untuk
menyerangnya. Oleh sebab itu, salah seorang dari budak itu menyerang kuda dan
seorang lagi menyerang kaki Abu Jahal. Akibat serangan itu, kuda pun rebah dan
Abu Jahal pula jatuh dan tidak dapat bangun lagi. Kedua-dua budak itu
telah menyerangnya begitu sekali sehingga dia tidak dapat bangun lagi
sebaliknya dia terus menggelepur di situ, kemudian barulah mereka
meninggalkannya.
Mu'awwiz ibnu 'Afra' r.a telah menambahkan lagi kecederaan
Abu Jahal supaya dia tidak dapat melarikan diri. Namun, Mu'awwiz r.a pun tidak
terus membunuhnya. Selepas itu barulah 'Abdullah ibnu Mas'ud r.a memenggal kepalanya.
(Dalam riwayat Ibnu Ishak menyebut Mu'awwidz yang membunuh Abu Jahal, sedangkan
'Abdullah ibnu Mas'ud hanya memenggal kepala Abu Jahal untuk membawa kepala itu
kepada Rasulullah S.a.w)
Mu'az ibnu 'Amr r.a berkata, "Sewaktu saya menyerang
kaki Abu Jahal, anaknya 'Ikrimah ada bersama. Dia telah menyerang bahagian bahu
saya yang menyebabkan tangan saya terpotong, tetapi tinggal sedikit kulit yang
menyebabkan tangan saya itu tergantung-gantung. [4] Saya telah meletakkan tangan yang tergantung itu di
belakang saya dan sepanjang hari saya berperang dengan sebelah tangan. Apabila
keadaan tangan saya yang tergantung-gantung itu menyusahkan saya, maka saya
telah menekan tangan itu di bawah kaki dan merentap dengan kuat. Tangan itu pun
terpisah dari tempat ia tergantung-gantung dan saya telah membuang tangan
itu." [5]
Rafi' dan Samurah ibnu Jundub r.a bergusti
Kebiasaannya apabila Nabi S.a.w pergi untuk berjihad,
baginda S.a.w akan memeriksa sendiri keadaan tentera apabila tiba di luar kota
Madinah. Baginda S.a.w akan memerhatikan keadaan dan keperluan mereka dan akan
memperbaiki apa-apa yang perlu. Nabi S.a.w menyuruh budak-budak muda yang turut
serta kerana keghairahan mereka sendiri supaya pulang. Demikianlah yang berlaku
apabila Nabi S.a.w keluar untuk Perang Uhud.
Setibanya di suatu tempat, Baginda S.a.w telah memeriksa
keadaan tentera dan memerintahkan budak-budak muda supaya pulang kerana umur
mereka yang masih muda. Antara mereka ialah 'Abdullah ibnu 'Umar, Zaid ibnu
Tsabit, Usamah ibnu Zaid, Zaid ibnu Arqam, Bara' ibnu 'Azib, 'Amr ibnu Hazm,
Usaid ibnu Zuhair, 'Arabah ibnu 'Aus, Abu Said al-Khudhri, Samurah ibnu Jundub
dan Rafi' ibnu Khadij radhiallahu anhum, yang berumur sekitar 13 hingga 14
tahun.
Apabila mereka diperintahkan pulang, Khadij r.a telah pergi
bertemu Rasulullah S.a.w untuk membela anaknya. Beliau berkata, "Anak saya
sangat mahir dalam memanah."
Sementara Rafi' r.a sendiri telah berdiri dengan menggunakan
hujung-hujung jari kakinya supaya kelihatan lebih tinggi kerana keghairahannya
untuk mendapat keizinan Rasulullah S.a.w. Baginda S.a.w telah memberi keizinan
kepadanya.
Maka Samurah ibnu Jundub r.a telah berkata kepada bapa
tirinya Muraiy ibnu Sinan r.a, "Rasulullah S.a.w telah mengizinkan Rafi'
manakala saya tidak diizinkan oleh Baginda S.a.w sedangkan kalau saya berlawan
dengannya sudah tentu saya dapat menjatuhkannya."
Rasulullah S.a.w telah menyuruh mereka bergusti dan
sememangnya, Samurah r.a dapat mengalahkan Rafi' r.a. Oleh sebab itu,
Rasulullah S.a.w turut mengizinkan Samurah r.a juga. Selepas itu
budak-budak lain cuba mendapatkan keizinan Rasulullah S.a.w juga dan ada di
antara mereka yang berjaya mendapat keizinan. [6]
Zaid ibnu Tsabit r.a diberi keutamaan kerana Al-Quran
Zaid ibnu Tsabit r.a berumur 11 tahun semasa Hijrah dan
beliau telah menjadi yatim sejak berumur 6 tahun lagi. Sewaktu Perang Badar
beliau telah menawarkan dirinya tetapi tidak mendapat keizinan. Kemudian beliau
keluar sekali lagi untuk menyertai Perang Uhud dan diperintahkan pulang seperti
yang diketahui dalam kisah yang lalu. Sesetengah perawi pula mengatakan, oleh
kerana Samurah r.a dan Rafi' r.a telah mendapat keizinan, maka Zaid ibnu Tsabit
r.a juga telah mendapat keizinan. Selepas itu beliau menyertai setiap
peperangan.
Semasa Perang Tabuk, bendera Bani Malik berada di tangan
'Ammarah r.a. Rasulullah S.a.w telah mengambil bendera itu daripadanya lalu
menyerahkan kepada Zaid r.a. 'Ammarah terfikir bahawa mungkin beliau telah
melakukan suatu kesilapan ataupun Baginda S.a.w telah marah kerana suatu sebab,
lalu beliau pun bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah apa-apa laporan
tentang saya telah sampai kepada tuan?"
Baginda S.a.w menjawab, "Bukan kerana itu, tetapi Zaid
lebih banyak mengetahui al-Quran daripadamu." Al-Quran lah yang
menyebabkan beliau diutamakan untuk memegang bendera. [7]
Umumnya, kebiasaan Rasulullah S.a.w ialah Baginda S.a.w akan
mengutamakan seseorang berdasarkan kelebihan dalam agama. Dalam kisah ini,
walaupun perkara itu berkaitan dengan urusan peperangan yang tidak ada kaitan
langsung dengan penguasaan lebih banyak pengetahuan al-Quran, tetapi Baginda
S.a.w tetap mengutamakan Zaid r.a yang mengetahui lebih banyak tentang al-Quran
untuk memegang bendera. Rasulullah S.a.w mengambil kira perkara ini dalam
kebanyakan urusan. Sehinggakan jika berlaku keadaan yang menyebabkan
beberapa orang perlu dikebumikan dalam satu liang lahad, Baginda S.a.w masih
mendahulukan orang yang lebih banyak mengetahui al-Quran sebagaimana yang telah
berlaku di medan Uhud. [8]
Dan banyak lagi kisah-kisah keberanian dan keghairahan
remaja / budak-budak muda di zaman Nabi S.a.w. Semoga kisah-kisah contoh yang
disebutkan di atas dapat menjadi pengajaran kepada kita bersama agar lebih
bersemangat dan ghairah juga untuk berjuang memartabatkan Agama Islam yang
tercinta dalam apa jua cara yang dibenarkan oleh syara'. Wallahu a'lam
.......